Tuesday, February 1, 2011

IKHLAS TAPI MALAS


   Ikhlas adalah sesuatu yang senang diungkapkan tetapi perlaksanaannya bukannya mudah. Keikhlasan yang lahir dari lubuk hati dengan satu tujuan iaitu ikhlas Lillahitaa’la. Perbuatan yang hanya menunjuk- menunjuk adalah perbuatan yang sia- sia, ibarat menanam bunga tetapi bunganya tidak kelihatan. Apa yang di maksudkan di sini adalah, sesuatu perbuatan tanpa sifat ikhlas kerana ALLAH swt tidak akan diterima dan diberi ganjaran pahala oleh ALLAH swt.

   Sifat ikhlas ini sebenarnya bukanlah lahir secara semulajadi. Ianya perlu diterap dan dibentuk agar perlaksanaan sesuatu amalan itu wujud berserta dengan kewujudan sifat ikhlas di dalam hatip.Biarpun pada mulanya kita hanya melakukan sesuatu itu hanya kerana terpaksa tetapi sekurang- kurangnya akan melatih serta mendidik hati kita agar bersifat ikhlas walaupun untuk menjelmakan sifat ikhlas ini agak memakan masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

   Mana tidaknya, andai kita cepat berputus asa dan terus berputus asa dalam melakukan kebaikan ini, tidak mustahil diri kita akan terus alpa dan misi kita untuk menjadikan sifat ikhlas sebahagian dari hidup kita akan musnah serta lahirlah manusia atau generasi yang alim dan berilmu tetapi ketandusan sifat ikhlas. Mereka hanya melakukan sesuatu semata- mata mahu mendapatkan ganjaran.
Kita sepatutnya mencontohi sifat dan keperibadian seorang tokoh ilmuan di negeri Kedah di mana dalam perjalanan beliau mahu mengajar di suatu majlis ilmu, tiba- tiba hatinya terdetik “lepas aku mengajar di majlis ilmu ini,mungkin mereka akan memberikan ganjaran padaku( upah)”.Apabila menyedari hatinya di pengaruhi oleh bisikan syaitan itu, beliau terus beristighfar memohon keampunan daripada ALLAH swt.

   Malah, beliau mengambil keputusan untuk kembali semula ke rumahnya untuk memasang semula niat yang betul. Apa yang dipintanya adalah berkongsi ilmu yang dikurniakan oleh Sang Pencipta kepada individu yang memerlukan dengan niat ikhlas kerana ALLAH swt. Begitu murni hati beliau, sanggup berpatah balik semata- mata untuk membetulkan niat. Bimbang akan apa yang disampaikan hanya sia- sia dan tidak mendapat keredhaan daripada ALLAH swt.

   Tetapi ada juga sesetengah daripada kita melakukan sesuatu itu ikhlas tetapi yang peliknya malas dan liat untuk menyeru sesorang ke jalan ALLAH.Mungkin tidak ada keyakinan untuk memperbetulkan kesilapan orang lain atau sebagainya tetapi yang pasti dakwah ini memerlukan kepada kesungguhan,serta keikhlasan barulah apa yang kita sampaikan itu akan memberi impak kepada orang lain walaupun ada yang tidak mahu menerima.

   Bila ada sifat ikhlas dan kita tetap rajin serta bersungguh- sungguh dalam menyeru kepada kebenaran, dengan izin ALLAH swt, orang yang didakwahkan itu akan terbuka hati dan diberi hidayah untuk berubah kerana setiap muslim itu selagi mana masih mampu mengucap dua kalimah syahadah, tetap mendapat hidayah dan petunjuk daripada ALLAH swt sama ada cepat atau lambat. Pokok pangkalnya adalah kita mesti melakukan sesuatu perkara itu secara berterusan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Majjah iaitu “ amalan yang baik ialah amalan yang berterusan(konsisten) sekalipun sedikit.”

   Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, kita perlulah berusaha untuk melahirkan sifat ikhlas dalam setiap amalan dan jangan malas dalam mengerjakan kebaikan kerana matlamat utama kita diciptakan oleh ALLAH swt adalah untuk beribadah serta mendapat keredhaan daripadaNya sebagai tanda kita mensyukuri segala kurniaanNya.

No comments:

Post a Comment