Tuesday, February 1, 2011

AKU INGIN MENCINTAI


Cinta  suatu perkataan yang indah. Aku amat mencintaimu. Bahagia rasakan. Cinta juga menyebabkan aku mengalirkan air mata. Aku mula mengenali cinta sejak kecil. Cinta Ilahi, cinta Rasul, cinta ayah dan ibu. Cinta dari ayah menyebabkan aku sentiasa merindu untuk menatap wajahnya. Cinta ibu menyebabkan aku menangis mengenangkan pengorbanannya. Adakah aku bisa menjadi permata yang mereka harapkan. Bisakah juga aku membalas cinta mereka? Kucupan dari ayah tidak pernah aku lupa. Belaian ibu tidak pernah aku buang. Hanya doa kupanjatkan untuk mereka. Hanya mereka cintaku selepas Allah dan Rasul.
            Pernah kita mendengar ungkapan orang bercinta “sehidup dan semati”. Wajarkah ungkapan ini diagungkan? Aku pernah mendengar ungkapan dari seorang sahabat yang menyatakan hidup semati konon, lupakah kubur nanti berasingan.  Aku ingin berkongsi satu cerita berkenaan perkataan keramat “sehidup semati “ ini. Dua insan yang bergelar kekasih. Malangnya cinta yang disemai ini tidak mendapat  restu orang tua. Demi mempertahankan sebuah cinta yang mereka anggap sejati ini mereka sanggup “sehidup semati”. Tindakan bijak mereka ialah menghabiskan roh anugerah ilahi dengan membiarkan jasad mereka berdua digilis  keretapi. Bahagianya syaitan tidak terkira. Beginikah sebenarnya konsep cinta hari ini? Astaghfirullah .
            Benarkah seorang lelaki kalah dengan cinta seorang perempuan? Benarkah seorang Adam akan melupakan cinta Ilahi hanya seorang Hawa? Tegarkah lelaki melaksanakan perintah Tuhan demi seorang wanita cantik yang begelar isteri. Bolehkah dan bolehkah? Aku ingin mengambil sebuah cerita cinta pada zaman Rasulullah.  Cerita cinta ini ialah antara seorang lelaki bernama Abdullah Bin Abu Bakar r.a dan buah hatinya yang amat manis lagi rupawan iaitu Atikah Binti Zaid. Satu ketika ketika azan berkumandang datanglah SaidinaAbu Bakar mahu mengajak Abdullah untuk sama-sama menunaikan solat jemaah di masjid, tetapi beliau melupakan hasrat itu apabila melihat Abdullah sedang bergurau dengan isterinya. Setelah usai solat,  alangkah terkejut saidina Abu Bakar apabila Abdullah masih bergurau dengan isterinya. Lantas beliau memanggil anaknya dan mengatakan,  Atikah telah melalaikan kamu dari amanah dan melupakanmu dari solat. Ceraikanlah dia. Hasil didikan ahli syurga ini Abdullah menceraikan seorang isteri yang amat dikasihi. Bagaimanakah dengan anda Adam? Tegakah kalian berbuat demikian demi cinta Allah yang agung?
            Wahai sahabatku, cinta Allah cinta yang agung. Cinta yang tidak akan pernah hilang walaupun tiada seorang makhluk di bumi yang menyayangimu. Khilafnya diriku kerana sering melupakan cinta yang agung ini. Allah sentiasa membantu dikala suka dan duka. Allah mendengar dan melihat dan memperkenankan doa hambaNya yang sentiasa meminta.
                                    Firman Allah
“Berdoalah kepadaku nescaya Aku akan memperkenankan bagimu”(Surah al Baqarah 2:186). Allah sentiasa mendengar doa hambaNya  dan Allah akan bersama dengan kita jika kita tulus berdoa padaNya. Itulah hakikat sebuah cinta. Cinta agung Pencipta kepada makhluk bergelar manusia.
            Mengapa aku ingin mencintai. Sedarlah insan, dirimu diciptakan bersama fitrah. Fitrah manusia untuk mencintai keindahan sehingga manusia mudah kagum  dengan keindahan dan kecantikan yang jelas pada zahir. Lupakah kita, Allah memang menciptakan keindahan kerana Allah itu indah dan mencintai keindahan. Ingatlah pesanan Allah, sesungguhnya Allah adalah yang terkuat dari yang kuat dan paling perkasa dari yang perkasa, yang tergagah dari yang gagah. Sebagai remaja muslim tidak payah bersusah payah mencari cinta manusia untuk mengisi kekosongan hati, kerana dalam Al-quran telah disebutkan bahawa pemilik semua cinta adalah Allah. Ada satu coretan dari seorang muslimah yang aku baca. Sekiranya seorang lelaki atau perempuan  mencintai seorang makhluk Allah dan tidak pernah menyatakan hasrat hatinya kemudian dia meninggal dunia. Maka matinya ketika itu ialah mati syahid fisabilillah.
            Akhir kata jadilah kita pengemis cinta ilahi. Berdoalah padaNya ditemukan seorang Adam atau Hawa  yang bisa membawa diri pulang ke jalan Tuhan. Janganlah melalui jalan luas yang selesa kerana akhirnya binasa. Laluilah jalan sempit yang bercahaya kerana akhir destinasinya syurga. Wassalam.

No comments:

Post a Comment