Sunday, February 6, 2011

100 FAKTA KELANTAN...



100 fakta Kelantan, 100 bakal mengubah Malaysia

18 tahun bukan waktu yang pendek
18 tahun juga bukan waktu yang panjang
Tetapi 18 tahun cukup untuk mencipta 100 fakta
Bukti kewibawaan Islam agama memerintah
Mentadbir dan membangun negara..



18 tahun rekod mentadbir negeri tanpa rasuah, tuan-tuan
Di zaman manusia sanggup apa saja untuk hidup senang
Menipu mencuri merasuah membunuh memurtad sekalipun
Zaman materialisme hiburan gila-gila di kemuncak ini
Di Kelantan kerajaannya bersih rasuah dan kroni
Di Kelantan tiada judi untuk mempersia-sia ikhtiar manusia
Di Kelantan tiada nite-club untuk menghina wanita
Di Kelantan kadar jenayah paling rendah
Di Kelantan aktiviti ekonominya di tangan Islam



100 fakta Kelantan
100 bakal mengubah Malaysia
Kerja lima hari seminggu di Kelantanlah bermula
Cuti bersalin 60 hari di Kelantanlah bermula
Insurans kematian untuk seluruh rakyat warga emas juga
Di Kelantan bermulanya -Takaful Kifalah



100 fakta Kelantan
100 bakal mengubah Malaysia
Di Kota Bharu pasar basah paling besar dan cantik
3000 wanita berniaga semuanya santun menutup aurat
Dinamakan nama isteri Rasulullah, Siti Khadijah



Di Kelantan ekonomi riba tidak diiktiraf
Biar kita rugi, kata Tok Guru, asalkan tidak dimarah Tuhan
Tetapi mereka tak rugi, kerana mengumpul wang dan harta
Nak senang sementara di dunia bukan tujuan.
Tujuan ialah mengumpul pahala untuk bahagia abadi di syurga
Bagi mereka akhirat adalah nyata



100 fakta Kelantan
100 bakal mengubah Malaysia
Di Kelantan tuan-tuan, menteri besarnya seorang Tok Guru
Tiap-tiap pagi menjadi imam subuh dan memberi tazkirah
Tiap-tiap pagi sebeleum ke pejabat



18 tahun masih tinggal di rumah kampung berkembar masjid
Tak ada pagar tak ada pengawal tak ada orang gaji pun
Siapa-siapa boleh masuk dan berjumpa
Dia seorang yang warak dan zuhud
Gaji tiap bulan dipotong 45 peratus untuk parti dan kerajaan
Sejak dulu, elaun rumah tak pernah ambil, elaun keraian tak pernah ambil
Elaun buka puasa tak pernah ambil, elaun hari raya pun tak pernah ambil
Dan tangannya sentiasa ringan memberi sedekah
Itulah Menteri Besar Kelantan



Baru-baru ini BPR datang ke pejabatnya
Bukan kerana dia rasuah, tetapi kerana dia
Tak buat report ada orang cuba beri dia rasuah



100 fakta Kelantan
100 bakal mengubah Malaysia
Waktu mula-mula dulu mereka kata tiga bulan saja
Kerajaan PAS akan bangkrap tak ada duit nak perintah negeri
Kemudian tambah sedikit 6 bulan, kemudian jadi setahun
Sekarang 18 tahun dan ekonomi Kelantan semakin segar

Walau diskriminasi kerajaan pusat bermacam helah
Ditakut-takutkan dan dihalang pelaburan
Namun 18 tahun tanpa riba tanpa rasuah tanpa maksiat
Ekonomi Kelantan meningkat mengatasi lima negeri lain
Dulu nombor dua termiskin sekarang nombor enam di Malaysia
Dan di Kelantan tuan-tuan, tak ada tol,
nampak maupun tidak harga barangan dan makanan pun kekal murah
dan harga nikah pun masih murah



100 fakta Kelantan
100 bakal mengubah Malaysia
Belajarlah daripada Kelantan tuan-tuan
Belajarlah daripada Tok Guru
Belajarlah berfikir sebagai insan merdeka
Bebaskan minda, bebaskan minda!

Tuesday, February 1, 2011

AKU INGIN MENCINTAI


Cinta  suatu perkataan yang indah. Aku amat mencintaimu. Bahagia rasakan. Cinta juga menyebabkan aku mengalirkan air mata. Aku mula mengenali cinta sejak kecil. Cinta Ilahi, cinta Rasul, cinta ayah dan ibu. Cinta dari ayah menyebabkan aku sentiasa merindu untuk menatap wajahnya. Cinta ibu menyebabkan aku menangis mengenangkan pengorbanannya. Adakah aku bisa menjadi permata yang mereka harapkan. Bisakah juga aku membalas cinta mereka? Kucupan dari ayah tidak pernah aku lupa. Belaian ibu tidak pernah aku buang. Hanya doa kupanjatkan untuk mereka. Hanya mereka cintaku selepas Allah dan Rasul.
            Pernah kita mendengar ungkapan orang bercinta “sehidup dan semati”. Wajarkah ungkapan ini diagungkan? Aku pernah mendengar ungkapan dari seorang sahabat yang menyatakan hidup semati konon, lupakah kubur nanti berasingan.  Aku ingin berkongsi satu cerita berkenaan perkataan keramat “sehidup semati “ ini. Dua insan yang bergelar kekasih. Malangnya cinta yang disemai ini tidak mendapat  restu orang tua. Demi mempertahankan sebuah cinta yang mereka anggap sejati ini mereka sanggup “sehidup semati”. Tindakan bijak mereka ialah menghabiskan roh anugerah ilahi dengan membiarkan jasad mereka berdua digilis  keretapi. Bahagianya syaitan tidak terkira. Beginikah sebenarnya konsep cinta hari ini? Astaghfirullah .
            Benarkah seorang lelaki kalah dengan cinta seorang perempuan? Benarkah seorang Adam akan melupakan cinta Ilahi hanya seorang Hawa? Tegarkah lelaki melaksanakan perintah Tuhan demi seorang wanita cantik yang begelar isteri. Bolehkah dan bolehkah? Aku ingin mengambil sebuah cerita cinta pada zaman Rasulullah.  Cerita cinta ini ialah antara seorang lelaki bernama Abdullah Bin Abu Bakar r.a dan buah hatinya yang amat manis lagi rupawan iaitu Atikah Binti Zaid. Satu ketika ketika azan berkumandang datanglah SaidinaAbu Bakar mahu mengajak Abdullah untuk sama-sama menunaikan solat jemaah di masjid, tetapi beliau melupakan hasrat itu apabila melihat Abdullah sedang bergurau dengan isterinya. Setelah usai solat,  alangkah terkejut saidina Abu Bakar apabila Abdullah masih bergurau dengan isterinya. Lantas beliau memanggil anaknya dan mengatakan,  Atikah telah melalaikan kamu dari amanah dan melupakanmu dari solat. Ceraikanlah dia. Hasil didikan ahli syurga ini Abdullah menceraikan seorang isteri yang amat dikasihi. Bagaimanakah dengan anda Adam? Tegakah kalian berbuat demikian demi cinta Allah yang agung?
            Wahai sahabatku, cinta Allah cinta yang agung. Cinta yang tidak akan pernah hilang walaupun tiada seorang makhluk di bumi yang menyayangimu. Khilafnya diriku kerana sering melupakan cinta yang agung ini. Allah sentiasa membantu dikala suka dan duka. Allah mendengar dan melihat dan memperkenankan doa hambaNya yang sentiasa meminta.
                                    Firman Allah
“Berdoalah kepadaku nescaya Aku akan memperkenankan bagimu”(Surah al Baqarah 2:186). Allah sentiasa mendengar doa hambaNya  dan Allah akan bersama dengan kita jika kita tulus berdoa padaNya. Itulah hakikat sebuah cinta. Cinta agung Pencipta kepada makhluk bergelar manusia.
            Mengapa aku ingin mencintai. Sedarlah insan, dirimu diciptakan bersama fitrah. Fitrah manusia untuk mencintai keindahan sehingga manusia mudah kagum  dengan keindahan dan kecantikan yang jelas pada zahir. Lupakah kita, Allah memang menciptakan keindahan kerana Allah itu indah dan mencintai keindahan. Ingatlah pesanan Allah, sesungguhnya Allah adalah yang terkuat dari yang kuat dan paling perkasa dari yang perkasa, yang tergagah dari yang gagah. Sebagai remaja muslim tidak payah bersusah payah mencari cinta manusia untuk mengisi kekosongan hati, kerana dalam Al-quran telah disebutkan bahawa pemilik semua cinta adalah Allah. Ada satu coretan dari seorang muslimah yang aku baca. Sekiranya seorang lelaki atau perempuan  mencintai seorang makhluk Allah dan tidak pernah menyatakan hasrat hatinya kemudian dia meninggal dunia. Maka matinya ketika itu ialah mati syahid fisabilillah.
            Akhir kata jadilah kita pengemis cinta ilahi. Berdoalah padaNya ditemukan seorang Adam atau Hawa  yang bisa membawa diri pulang ke jalan Tuhan. Janganlah melalui jalan luas yang selesa kerana akhirnya binasa. Laluilah jalan sempit yang bercahaya kerana akhir destinasinya syurga. Wassalam.

IKHLAS TAPI MALAS


   Ikhlas adalah sesuatu yang senang diungkapkan tetapi perlaksanaannya bukannya mudah. Keikhlasan yang lahir dari lubuk hati dengan satu tujuan iaitu ikhlas Lillahitaa’la. Perbuatan yang hanya menunjuk- menunjuk adalah perbuatan yang sia- sia, ibarat menanam bunga tetapi bunganya tidak kelihatan. Apa yang di maksudkan di sini adalah, sesuatu perbuatan tanpa sifat ikhlas kerana ALLAH swt tidak akan diterima dan diberi ganjaran pahala oleh ALLAH swt.

   Sifat ikhlas ini sebenarnya bukanlah lahir secara semulajadi. Ianya perlu diterap dan dibentuk agar perlaksanaan sesuatu amalan itu wujud berserta dengan kewujudan sifat ikhlas di dalam hatip.Biarpun pada mulanya kita hanya melakukan sesuatu itu hanya kerana terpaksa tetapi sekurang- kurangnya akan melatih serta mendidik hati kita agar bersifat ikhlas walaupun untuk menjelmakan sifat ikhlas ini agak memakan masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

   Mana tidaknya, andai kita cepat berputus asa dan terus berputus asa dalam melakukan kebaikan ini, tidak mustahil diri kita akan terus alpa dan misi kita untuk menjadikan sifat ikhlas sebahagian dari hidup kita akan musnah serta lahirlah manusia atau generasi yang alim dan berilmu tetapi ketandusan sifat ikhlas. Mereka hanya melakukan sesuatu semata- mata mahu mendapatkan ganjaran.
Kita sepatutnya mencontohi sifat dan keperibadian seorang tokoh ilmuan di negeri Kedah di mana dalam perjalanan beliau mahu mengajar di suatu majlis ilmu, tiba- tiba hatinya terdetik “lepas aku mengajar di majlis ilmu ini,mungkin mereka akan memberikan ganjaran padaku( upah)”.Apabila menyedari hatinya di pengaruhi oleh bisikan syaitan itu, beliau terus beristighfar memohon keampunan daripada ALLAH swt.

   Malah, beliau mengambil keputusan untuk kembali semula ke rumahnya untuk memasang semula niat yang betul. Apa yang dipintanya adalah berkongsi ilmu yang dikurniakan oleh Sang Pencipta kepada individu yang memerlukan dengan niat ikhlas kerana ALLAH swt. Begitu murni hati beliau, sanggup berpatah balik semata- mata untuk membetulkan niat. Bimbang akan apa yang disampaikan hanya sia- sia dan tidak mendapat keredhaan daripada ALLAH swt.

   Tetapi ada juga sesetengah daripada kita melakukan sesuatu itu ikhlas tetapi yang peliknya malas dan liat untuk menyeru sesorang ke jalan ALLAH.Mungkin tidak ada keyakinan untuk memperbetulkan kesilapan orang lain atau sebagainya tetapi yang pasti dakwah ini memerlukan kepada kesungguhan,serta keikhlasan barulah apa yang kita sampaikan itu akan memberi impak kepada orang lain walaupun ada yang tidak mahu menerima.

   Bila ada sifat ikhlas dan kita tetap rajin serta bersungguh- sungguh dalam menyeru kepada kebenaran, dengan izin ALLAH swt, orang yang didakwahkan itu akan terbuka hati dan diberi hidayah untuk berubah kerana setiap muslim itu selagi mana masih mampu mengucap dua kalimah syahadah, tetap mendapat hidayah dan petunjuk daripada ALLAH swt sama ada cepat atau lambat. Pokok pangkalnya adalah kita mesti melakukan sesuatu perkara itu secara berterusan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Majjah iaitu “ amalan yang baik ialah amalan yang berterusan(konsisten) sekalipun sedikit.”

   Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, kita perlulah berusaha untuk melahirkan sifat ikhlas dalam setiap amalan dan jangan malas dalam mengerjakan kebaikan kerana matlamat utama kita diciptakan oleh ALLAH swt adalah untuk beribadah serta mendapat keredhaan daripadaNya sebagai tanda kita mensyukuri segala kurniaanNya.

Monday, January 31, 2011

"MENGALAH BUKAN BERMAKNA KALAH"

Bait-bait ayat ini selalu tersemak dikalbu jiwaku. Kadang-kadang ia lahir secara spontan dari seulas bibirku ini. Pelbagai karenah insan yang bermaharajalela di muka bumi yang indah ini yang perlu kita hadapi dengan tenang, matang dan optimis. Mengalah bukan bermakna kalah, tapi untuk mengurangkan konflik! Terdapat pendapat mengatakan konflik boleh terjadi kerana hubungan antara dua pihak atau lebih (individu atau kelompok) yang memiliki atau merasa memiliki tujuan-tujuan yang tidak seiring (Fisher, dalam Saputro, 2003).
Seorang pensyarah yang pernah mengajarku turut mengakui bait-bait ayat itu. Sedarkah kita sampai bila kita mahu menang sehingga mengenepikan perasaan orang. Cuba kita tanya pada diri:

 Adakah aku insan yang menyusahkan orang lain?

Kebahagiaan tidak lahir daripada kesenangan, kemewahan yang pernah kita capai selama menapak di tanah Ilahi ini. Sedarlah hidup ini kadang-kadang memaksa kita untuk lepaskan sesuatu yang kita sayangi, hidup ini juga kadang-kadang memaksa kita mengalah pada sesuatu perkara…inilah dia kehidupan…kita perlu berkorban..berusaha..dan bertawakkal pada yang Ilahi, yang lebih layak menentukan apa yang kita rancang dan inginkan kita dapat atau tidak. Inilah dia kehidupan. Jadi kita perlu redha atas apa yang terjadi dan andai itu memang bukan milik kita maka lepaskanlah ia dengan hati yang redha.

Friday, January 28, 2011

Fakta & Angka Mengenai Keadaan Semasa Ekonomi Negara

Fakta & Angka Mengenai Keadaan Semasa Ekonomi Negara

Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini. Angka-angka di bawah membutikannya.
12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.

4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.

4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.

KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.

325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata setahun adalah sebanyak 81.25 billion ringgit.

53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.

3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).

2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).

4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.

40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.

3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.

34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.

62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).

RM4 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik oleh kerajaan, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.

RM19bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.

RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.

Angka membuktikan segalanya..
Anda sendiri boleh menilainya..

Sumber: Buku Jingga; Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

Thursday, January 27, 2011

TiNtA pEnGuBaH dUnIa

SPEAKER CONNER??

Sejauh manakah keberkesanan Speaker Corner dapat menjadi medan kepada mahasiswa bagi mengasah bakat, supaya dapat melahirkan pemimpin yang serba boleh dalam membentuk generasi yang berketerampilan dan bijak berkomunikasi dapat diserlahkan??????????

Dikebanyakan IPT, speaker coner sudah tidak asing lagi namun terdapat juga IPT yang tidak menyediakan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk terus mengasah bakat untuk menjadi pemidato yang hebat. Hal ini tidak sewajarnya berlaku kerana hak sebagai mahasiswa perlu dihormati oleh pihak pentadbiran.

UUM merupakan diantara IPT yang agak ketinggalan dalam menggunakan speaker coner sebagai platform dalam menyampaikan suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran. Mahasiswa seolah-olah dikambinghitamkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menjaga nama baik Universiti. Pelbagai undang-undang baru telah diperkenalkan bagi menyekat kebebasan mahasiswa daripada terus bangkit menentang kezaliman.

Speaker coner di UUM ialah kawasan yang terletak diantara bangunan HEP dan Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan akan diadakan pada setiap hari khamis jam 10-11.30 pagi. Hari ini telah melakar sejarahnya yang tersendiri apabila salah sorang mahasiswanya telah nekad untuk mengisi ruangan speaker coner yang langsung tidak pernah dipedulikan selama ini. Keberanian mahasiswa ini seharusnya dipuji kerana sanggup menhadapi sebarang risiko yang akan mendatang. Walaubagaimanapun sedikit terkilan dalam kalangan penonton yang hadir kerana tidak dapat mendengar ucapan yang akan disampaikan kerana beliau telah ditangkap oleh HEP dan kawasan sekitarnya turut diawasi oleh unit keselamatan. Kemudian pelajar ini telah dihadapkan untuk bertemu dengan NC dan TNC. Perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana hak-hak mahasiswa perlu dihormati.

Semoga apa yang berlaku hari ini tidak mematahkan semangat mahasiswa untuk terus bersuara di medan ini. Bersama-samalah kita memberikan sokongan yang padu kepada mereka yang akan mengisi ruang speaker coner dengan cara turut serta dalam ucapan yang akan disampaikan...Diharapkan speaker coner dapat mencapai matlamat yang utama dalam melahirkan mahasiswa yang serba boleh...

DIAMBANG KEBANGKITAN MAHASISWA